Tuesday 7 June 2011

Sikap Guru Bahasa Melayu terhadap Penggunaan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) dalam Pengajaran di Sekolah-sekolah Rendah di Bintulu, Sarawak


http://journalarticle.ukm.my/143/1/a.pdf


SINOPSIS SIKAP GURU BAHASA MELAYU TERHADAP PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT) DALAM PENGAJARAN DI SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH DI BINTULU, SARAWAK.
Globalisasi ialah satu ideologi perubahan budaya, sosial, dan politik yang dicetuskan oleh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Dalam konteks ini, globalisasi telah menyebabkan wujudnya konsep dunia tanpa sempadan, konsep liberalisasi maklumat, konsep pembelajaran global dan konsep perubahan tingkah laku. Justeru, ICT telah memberi kesan yang besar ke atas anjakan perubahan sistem dan pengurusan pendidikan di negara-negara membangun seperti di Malaysia.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa sikap guru-guru Bahasa Melayu terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran adalah positif. Namun begitu, pengetahuan dan kemahiran guru-guru Bahasa Melayu masih berada pada tahap yang sederhana. Hasil kajian juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan sikap guru terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran berdasarkan jenis aliran di sekolah. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan yang signifikan antara sikap guru-guru Bahasa Melayu yang pernah menghadiri kursus ICT dengan guru-guru Bahasa Melayu yang tidak pernah menghadiri kursus ICT.
Pengalaman mengikuti kursus didapati mengubah sikap guru-guru terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru-guru mempunyai minat yang tinggi dalam penggunaan ICT dan ingin menggunakannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, peluang mengikuti kursus agak terbatas menyebabkan mereka merasakan tertinggal dari aspek pengaplikasian ICT. Guru-guru juga didapati bersikap kurang pasti terhadap penggunaan ICT untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Guru-guru Bahasa Melayu yang tidak menghadiri kursus ICT mempunyai sikap yang negatif terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran. Kewujudan sikap negatif guru juga disebabkan oleh guru telah sebati dengan kaedah tradisional dan sukar untuk membuat penyesuaian dengan teknologi instruksional.
Justeru, guru-guru Bahasa Melayu yang tidak pernah menghadiri sebarang kursus ICT harus didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran penggunaan ICT melalui kursus-kursus ICT yang ditawarkan. Ini sejajar dengan pendapat Ahamd Fuad (2003) bahawa hasrat untuk mencapai penggunaan ICT secara menyeluruh dalam proses P&P  memerlukan dua jenis perubahan dalam kalangan guru. Pertama, guru harus diyakinkan bahawa terdapat banyak kebaikan dan kepentingan penggunaan ICT dalam P&P dan kedua, guru perlu diberikan kemahiran yang mencukupi untuk menggunaklan ICT secara cekap dan efektif.
Kesimpulannya, walaupun hasil kajian menunjukkan guru di bahagian Bintulu, Sarawak mempunyai sikap yang positif, tetapi masih ada yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang sederhana dalam penggunaan ICT. Sikap yang sedemikian agak membimbangkan keranan bahan-bahan pembelajaran bahasa lebih mudah diperolehi daripada sumber yang berteraskan ICT. Justeru, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan pihak berwajib harus berganding bahu untuk menangani masalah tersebut kerana sekiranya sebarang tindakan dan langkah yang sewajarnya tidak diambil, maka berkemungkinan guru-guru kita akan terus dihanyut dan ditinggalkan oleh ilmu ICT, khususnya aspek pengetahuan dan kemahiran penggunaan ICT dalam P&P. Sebagai langkah bijak, kumpulan guru yang kekurangan pengetahuan dan kemahiran tentang ICT harus dipantau dan dikenal pasti dengan kadar segera supaya dapat diberi kursus atau latihan ICT. Kedudukan sekolah dipedalaman daerah Bintulu yang terletak di Sarawak seharusnya diberikan perhatian serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam masa yang sama, guru-guru Bahasa Melayu harus mengambil inisiatif sendiri untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ICT supaya dapat diaplikasikan ke dalam pengajaran.






No comments:

Post a Comment